Selasa, 19 April 2011

Kesi

*Sejenis alat idiofon dari keluarga 'simbal' yang dibentuk daripada kepingan tembaga. Bahagian tengah permukaannya kelihatan melengkung ke dalam. Berperanan sebagai alat pelengkap irama dalam ensemble paluan tradisional. Ianya disertakan dalam dua pasangan iaitu salah satu daripadanya dipaku pada tapak kayu secara kekal dan yang satu lagi dipasangkan dengan tali. Untuk menghasilkan bunyi, alat-alat tersebut dilagakan dengan menggunakan kaedah hentakan. Digunakan dalam ensemble paluan tradisional yang pada mulanya berkembang di negeri Kelantan seperti Wayang Kulit, Mak Yong dan Menora serta ensemble paluan untuk mengiringi tarian tradisional seperti Asyik dan Wau Bulan. Suara yang dapat dihasilkan oleh alat ini adalah gemersik dan memecah (crashing sound).

Keromong / Bonang

*Gong yang berukuran kecil dan diperbuat daripada 'perunggu'. Merupakan alat melodi utama dalam ensemble Gamelan Melayu. Mengandungi dua oktaf yang berlaras anhemitonik pentatonik dan disusun di atas tapak khas secara mendatar dalam kedudukan yang menyongsang. Secara fizikal, alat Bonang mempunyai bentuk seperti kendi (kettle-shaped) dan sifat bunyinya berprinsipkan kepada 'dengung'. Secara dikotomi bonang yang beroktaf rendah dikenali sebagai wedok (perempuan) dan yang beroktaf tinggi sebagai lanang (lelaki) mengikut bahasa Jawa. Dalam permainan Gamelan Melayu, melodi pokok diimprovisasikan secara berkumpulan yang dapat diterjemahkan sebagai heterofoni. Ianya menggunakan sistem notasi angka dikenali sebagai French Cheve System sempena dengan nama pengasasnya iaitu Dr Emile Cheve daripada Perancis. 

*Di kalangan masyarakat di Terengganu khususnya, secara tradisi, alat bonang dikenali sebagai Keromong, yakni memakai sistem nama yang hampir sama dengan alat dari keluarga Gong yang terdapat di Sarawak, dikenali sebagai 'Engkeromong'. Manakala dalam tradisi Gamelan di Johor, Bonang merupakan alat terpenting dalam ensemble yang menvariasikan melodi pokok ataupun lebih tepat lagi disifatkan sebagai Cantus firmus, iaitu satu melodi pendek.
*Peringkat Alat : Keromong
*Gambang
*Saron Demung
*Saron Barung
*Saron Penerus/Pekin
*Kenong
*Gendang
*Gong Agung/Suwukan

Kertuk Kayu / Kerantung

*Kertuk Kayu sejenis alat idiofon yang mempunyai peranan yang suci bagi masyarakat Islam di Malaysia, khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman dan desa. Diperbuat daripada jenis kayu yang terpilih, lazimnya dari spesis 'Nangka' dan berbentuk 'oblong' iaitu memanjang. Pada permukaannya ditebukkan lubang khas yang berfungsi sebagai lubang suara ataupun gema. Ianya dipalu dengan kayu yang diperbuat daripada kayu yang keras untuk menghasilkan bunyi. Sering kelihatan digantung pada anjung masjid ataupun surau di kampung-kampung dan dipalu menandakan masuknya waktu-waktu untuk bersolat dan diikuti dengan laungan azan. Ianya merupakan alat asli bagi orang-orang Melayu di Nusantara. Selain daripada kegiatan yang berunsur keagamaan bagi umat Islam di rantau ini, ianya juga digunakan sebagai alat untuk berkomunikasi.
*Istilah 'Kertuk Kayu' bagi maksud ini merupakan satu nama yang sering digunakan oleh orang-orang Melayu di Pantai Timur Semenanjung Malaysia khususnya, manakala masyarakat di Johor dan di negeri-negeri lain alat ini dikenali sebagai 'Kerantung' juga mendukungi fungsi yang sama seperti Kertuk Kayu.

Kertuk Buluh

*Kertuk Buluh sejenis alat yang dapat digolongkan di bawah keluarga 'Kertuk'. lanya diperbuat daripada tabung buluh dan pada permukaannya ditebuk satu lubang khas yang berfungsi sebagai lubang suara. Ini bagi menjamin supaya udara yang berada dalam ruang tabung alat berkenaan dapat mengalir keluar dengan bebas apabila alat ini diketuk. Alat ini pada asalnya digunakan bagi menghalau burung-burung daripada memakan hasil tanaman mereka seperti padi. Kini alat tersebut sering digunakan sebagai alat props untuk tarian rakyat yang bersifat kontemporari.

Kenong

*Kenong diperbuat daripada 'perunggu' dan mendukung peranan sebagai alat kolotomi yang dominan dalam rangkaian Gamelan di Malaysia. Dalam ensemble Gamelan Melayu, Kenong disertakan dalam satu oktaf yang berlaras Pentatonik (anhemitonic Pentatonic) iaitu skala lima nada tanpa semiton pada jedanya, mempunyai pic yang tetap iaitu fixed-pitch yang diasaskan kepada Western Tempered Pitch, manakala tradisi Gamelan di Johor mengamalkan dua sistem skala iaitu slendro, bermaksud lima nada dan skala Pelog yang mengandungi tujuh nada. Sistem skala berkenaan adalah diasaskan kepada Non-Tempered Pitch dan mempunyai tangga suara yang lebih kecil. Dalam disiplin Gamelan di Jawa Indonesia, istilah Kenong juga digunakan untuk salah satu nada dalam Kerawitan khususnya bagi nada 'loloran' ataupun 'lima'.

Kemplingan

*Kemplingan sejenis gendang satu muka yang digunakan dalam tradisi bacaan rawi yang menyerupai berzanji oleh masyarakat Melayu berketurunan Jawa di Johor. Kesenian ini juga dikenali dengan nama Kemplingan. Dalam persembahan kemplingan lazimnya disertai oleh empat pemain kemplingan, seorang pemain Jidur dan seorang pemain gendang panjang. Mereka akan memainkan pola paluan yang khusus dan spesifik bagi mengiringi bacaan rawi yang disertai oleh sekumpulan lelaki dewasa. Alat kemplingan dibuat dalam tiga saiz, yang berukuran besar dikenali sebagai kemplingan besar dan mempunyai suara yang rendah. Manakala yang berukuran sedarhana dan kecil, berperanan sebagai gendang tingkah dan mempunyai pic yang tinggi.

Gerdang Sembilan

*Merupakan salah satu alat muzik tradisional masyarakat Melayu yang berketurunan Mandaling. Ianya didapati berkembang di negeri Selangor dan dimainkan sebagai muzik iringan untuk tarian dan juga hiburan. Secara fizikal ianya merupakan Gendang dua muka yang berbentuk 'kun'. Baluhnya diperbuat daripada kayu 'surian', 'immu' ataupun 'batang kelapa'. Pada permukaan besar dirambing dengan belulang lembu betina dan pada permukaan kecil ditutup dengan kayu, yang mana dari aspek persembahan penutup kayu tersebut tidak berperanan apa-apa, tetapi dari aspek ekustiknya, ianya dapat memampatkan lagi 'densiti' suara-suara yang dihasilkan melalui permukaan besarnya melalui tindak balas udara yang terkandung di dalamnya. Dua batang pemukul kayu digunakan untuk menghasilkan bunyi yang agak bergemuruh.