Selasa, 19 April 2011

Gong / Telawak Ibu


*Gong/Tetawak Ibu mendukung peranan sebagai alat kolotomik yang utama dalam budaya muzik masyarakat Melayu tradisi di Malaysia. Ianya sering digunakan secara berpasangan dengan Tetawak Anak khususnya dalam ensemble bagi mengiringi teater tradisional seperti Mak Yong, Wayang Kulit Kelantan, Menora dan Main Petri serta tarian klasik istana seperti Asyik dan tarian-tarian rakyat seperti 'Garong', 'Wau Bulan', 'Ulit Gambuh', yang berkembang di negeri Kelantan. Tetawak Ibu, secara dikotomi, mempunyai pic suara yang lebih rendah dan bentuk fizikal yang lebih besar daripada Tetawak Anak. Ianya dilaras mengikut sistem pic yang tidak tetap (undefinite pitch) dan mampu untuk menghasilkan siri overtone yang banyak. Jarak jedanya dengan Tetawak Anak, mengikut sistem kiraan cent (Cent's Intervalic System) adalah dalam lingkungan 200 - 250 Cents. Tetawak juga digunakan secara berpasangan dalam persembahan Mak Yong Laut di Perlis.
*Dalam disiplin Paluan Silat, Dabus, Nobat Di Raja, Mek Mulung dan Jikey dan ensemble 'sinkretik' seperti 'Dondang Sayang', alat gong digunakan secara tunggal iaitu sebiji sahaja. Dalam konteks persembahan, pada prinsipnya Tetawak Ibu dan Anak digantungkan pada tiang yang diukir khas dan Tetawak Ibu hendaklah berada di sebelah kiri pemain. Untuk menstabilkan kedudukannya, 'kayu mengambang' telah dipasangkan. Ini bagi menjaminkan alat tadi tidak berlaga apabila ianya dipalu. Pemalu, iaitu sounding device lazimnya diperbuat daripada kayu dan dilapik ataupun dililitkan pada hujungnya dengan bahan lembut seperti kain ataupun getah, kemudiannya disirat dengan tali benang. Gong Ibu dan Anak juga berperanan sebagai alat kolotomik dalam ensemble 'Gendang Keling' di Kedah dan 'Terinai' di Perlis. Gong-gong ini adalah dari jenis yang berukuran kecil serta nipis. Ianya diperbuat daripada gangsa dan menggunakan teknik acuan dan petri. Gong tersebut dikatakan mempunyai pertalian dengan 'Gong Hooi' dari Thailand. Dalam ensemble Wayang Kulit yang berkembang di Kedah, gong juga digunakan secara berpasangan dan disifatkan sebagai Gong Jantan dan Gong Betina. Ianya berukuran kecil dan kelihatan seperti alat 'Mong'. Gong-gong tadi diletakkan di atas para dan dipalu secara menegak (vertical). Alat gong jenis 'Hooi' yang diperbuat daripada gangsa ataupun tembaga hitam yang terdapat dalam ensemble Mek Mulung, mampu menghasilkan suara yang lantang iaitu sonorous dan mempunyai gema yang pendek.
*Di Negeri Kelantan pada satu ketika dahulu terdapat tukang-tukang yang mahir dalam pembuatan alat seperti 'Gong Hooi', 'Mong' dan juga 'Canang' daripada gangsa dengan menggunakan teknik acuan. Kini pembuatan alat 'Canang' dan 'Mong' masih diteruskan di kawasan-kawasan tertentu di Kuala Terengganu. Dalam pada itu di kalangan masyarakat tertentu yang terdapat di Sabah dan Sarawak, 'gong' telah dijadikan sebagai hantaran yang paling bernilai mengikut adat mereka dalam soal nikah kahwin dan sekaligus melambangkan kekayaan. Begitu juga peranan gong dalam masyarakat tertentu di kampung-kampung di Negeri Kelantan, dari sudut non-musical, gong digunakan untuk tujuan di antaranya ialah :

(
i) Memohon izin ataupun meminta laluan daripada masyarakat dari kampung lain sebelum melalui kampung tersebut. Untuk ini gong anak dipalukan dengan moderithme yang lazim digunakan untuk berhubung dalam komuniti berkenaan.

(ii)
Untuk memanggil ataupun menyegerakan orang yang berkenaan supaya datang berhimpun dalam sesuatu upacara. Untuk ini gong anak dipalukan dengan moderithme bersifat 'meno moso' dan tombolnya diperdamkan.

(iii)
Mencari atau mengajak lawan untuk sesuatu pertandingan seperti Gasing, Kertuk, Rebana Ubi dan Wayang Kulit. Untuk tujuan ini gong ibu dipalukan. Sekiranya palung gong tadi dijawab, maka perlawanan menjadi kenyataan.

Gong
juga diberi makna yang simbolik dalam konteks sosio-budaya mereka iaitu sebagai Seri Berdengung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan